Beberapa tahun lepas, penulis menulis satu artikel
tentang tiga P (3P) yang wujud dalam kempen pilihanraya, iaitu puji, pujuk dan provokasi. Namun demikian, berdasarkan pemerhatian sejak mula
kempen PRU13 bermula hingga hari ini 4 Mei 2013, tarikh akhir berkempen[1],
penulis dapati satu bentuk bahasa yang turut mendominasi kempen pilihanraya,
iaitu slogan. Selain merancakkan dan memeriahkan
pilihanraya, laungan slogan berupaya
mempengaruhi keputusan pilihanraya.
Konsep slogan politik ialah slogan yang digunakan untuk mewujudkan
persepsi baharu tentang gagasan politik oleh sesebuah pertubuhan. (Roslan Daud:
2010, November, Dewan Bahasa). Indirawati Zahid pula (November, Dewan Bahasa) pula melihat slogan
sebagai satu manifestasi bahasa dalam bentuk ayat yang dicipta untuk mewakili
gambaran ideologi, objektif dan misi sesebuah institusi, persatuan, parti politik
atau sesuatu produk komersial. Slogan ini dianggap sebagai satu kemestian untuk
menarik perhatian khalayak tentang pelbagai perkara, termasuklah persoalan yang
ingin dicapai, pegangan atau kepercayaan, kualti perkhidmatan yang dijanjikan.
Ahli ekonomi, ahli perniagaan atau syarikat-syarikat
besar turut mengakui perlunya slogan dalam produk dan perkhidmatan yang mereka
tawarkan. Sebab itu, setiap produk dan perkhidamatan mereka mesti mempunyai
slogan. Syarikat penerbangan tambang murah Airasia misalnya menggunakan moto everybody can fly, TV9 pula menggunakan
moto TV9 di Hati, moto bagi rancangan
Melodi pula ialah “Kurangkan Kontroversi, Tingkatkan Prestasi dan
sebagainya. Pos Malaysia pula
menggunakan slogan “Dijamin Sampai Esok”.
Sebelum menyentuh persoalan slogan ini kalilah dan lain kalilah,
konsep 3P ini perlu dijelaskan terlebih dahulu. Ini untuk menggambarkan
bentuk-bentuk bahasa dalam kempen pilihanraya. Dari sudut Puji, para ahli politik akan memuji
bahawa hanya parti mereka yang dapat membangunkan negara, menepati janji, tidak
mengamalkan rasuah, mereka membela rakyat, membantu yang miskin dan
sebagainya.
Selepas memuji, ahli parti
menggunakan P yang kedua, iaitu bentuk bahasa pujukan. Ahli parti yang bertanding akan memujuk para pengundi
melalui janji-janji manis atau manifesto yang menarik. Mereka memujuk pengundi
dengan mengatakan bahawa jika parti mereka menang, mereka akan menurunkan harga
minyak, membina lebuhraya, membina rumah mampu milik, menurunkan harga kereta,
membantu orang miskin, memberikan pendidikan, elektrik dan air percuma, dan
sebagainya.
Untuk menguatkan sokongan
pengundi terhadap sesebuah parti, pujian dan pujukan disusuli dengan bentuk
bahasa provokasi (P yang ketiga).
Para pemimpin yang bertanding akan sentiasa memprovoksi perasaan pengundi atau
membangkitkan kemarahan dan kebencian pengundi terhadap parti lawan. Mereka
mendakwa pemimpin parti lawan berusaha untuk menghapuskan keistimewaan orang-orang
Melayu, mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan berusaha untuk
mengkristiankan Malaysia. Selain itu, menuduh parti lawan sebagai pengkhianat
negara, membawa fahaman komunis dan pluralisme agama, dan terkini tuduh-menuduh
antara parti lawan sebagai penyokong pengganas Kesultanan Sulu.
P yang ketiga ini
tidak wujud dalam bahasa iklan. Menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang
apabila pengusaha produk memburuk-burukkan produk-produk lain dengan
menggunakan bentuk bahasa provokasi.
Dalam politik, memburuk-burukkan parti lawan secara luar biasa tidak menjadi
satu kesalahan di Malaysia (walaupun ada tindakan undang-undang diambil tetapi
tetap provokasi ini terus berleluasa), malah menjadi budaya negatif yang
“berkembang maju” dalam kempen pilihanraya kita pada hari ini. Provokasi ini digunakan untuk
membentuk persepsi yang negatif terhadap parti lawan. Dengan persepsi buruk
pengundi terhadap parti lawan, pengundi akan menyokong parti mereka.
Laungan slogan Ini
kalilah!! dan lain Kalilah!! menjadi
fenomena dalam media sosial dan menjadi sebutan ramai anak muda Malaysia masa
kini menjelang hari pengundian PRU13 pada 5 Mei 2013. Slogan ini juga popular di
peringkat akar umbi, khususnya di kedai-kedai kopi di kampung-kampung, restoran
mamak, gerai makan dan sebagainya. Ramai pemerhati politik dan kolumnis turut
menggunakan slogan ini dalam penulisan mereka. Contohnya Maszlee Malik, seorang
kakitangan akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, turut menulis
artikel dalam Malaysiakini, bertajuk Untuk Rausyanfikir, Ini Kalilah, artikel Sabah,
Ini kalilah 'undio noh' oleh
Sharifah Nursyahidah pada 3 Mei 2013, sehari sebelum artikel ini ditulis. Banyak lagi artikel mengenai perkara ini.
Hanya media Perdana yang tidak mempopularkan slogan ini. Ceramah politik
Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini sentiasa dimeriahkan dan ditutup dengan
laungan Ini kalilah. Mereka yang kurang peka
terhadap politik turut merasai bahang laungan tersebut.
Dari segi etimologinya, slogan Ini Kalilah merupakan ungkapan yang bersifat lokaliti atau bahasa
daerah (loghat) di Sabah dan dipopularkan oleh rakyat negeri tersebut yang peka
politik. Berdasarkan pemahaman penulis yang juga merupakan anak negeri Sabah, ini kalilah membawa makna bahawa tiba
masanya sesuatu perlu dilakukan. Dalam konteks politik, khususnya dalam PRU13, Ini kalilah bermaksud tiba masanya
pemerintah lama digantikan dengan pemerintah baharu. Selain itu, ia turut
menggambarkan kesedaran politik masyarakat Sabah.
Pada pendapat penulis, laungan Ini Kalilah menjadi slogan
akhir bagi slogan-slogan terdahulu. Slogan Ini
Kalilah menjadi slogan akhir bagi laungan slogan reformasi, lawan tetap lawan,
ABU (Asal Bukan Umno), Negara
Berkebajikan, Pakatan Harapan Rakyat, dan ubah!. Dengan pengertian lain, slogan Ini Kalilah telah menghimpunkan maksud dan tujuan yang terkandung
dalam slogan-slogan terdahulu.
UMNO Barisan Nasional (UMNO/BN) tidak kurang hebatnya
dalam menggunakan slogan. Slogan Dulu
Kini dan Selamanya (masih digunakan), Cemerlang,
Gemilang dan Terbilang, Islam Hadhari, Satu
Malaysia: Rakyat didahulukan Pencapaian Diutamakan, Janji Ditepati, Aku Janji
Manifesto Membawa Harapan dan
sebagainya dipopularkan dalam media arus perdana. Laungan Ini kalilah terpaksa dibalas oleh UMNO/BN dengan laungan Lain
kalilah. Namun demikian, slogan Lain
Kalilah bukanlah sebagai penutup bagi slogan tedahulu atau slogan yang
menghimpunkan maksud dan tujuan slogan-slogan Barisan Nasional yang terdahulu,
sebaliknya ia hanya respon atau reaksi balas terhadap Ini Kalilah. Jika benar laungan Lain
Kalilah sebagai slogan Barisan Nasional,
seolah-olah slogan Dulu Kini dan
Selamanya terpadam.
Penulis amat yakin bahawa setiap perkataan atau ungkapan
mempunyai roh, kuasa dan pengaruh yang cukup kuat terhadap penutur dan
pendengarnya. Oleh sebab mempunyai roh, kuasa dan pengaruh, maka slogan Ini kalilah berjaya ‘memasuki’ pentas
politik dan menjadi fenomena dalam PRU13. Bagi ahli politik, khususnya
pembangkang, slogan itu merupakan gambaran bahawa Stunami politik 8 Mac 2008
turut melanda Sabah pada PRU13 ini. Ombak
Stunami politik ini telah sampai ke Sabah dan Sarawak dan ia mencemaskan
ahli-ahli politik UMNO/BN, khususnya Perdana Menteri.
Secara keseluruhannya, persaingan slogan antara Pakatan
Rakyat dengan Barisan Nasional adalah persaiangan yang sihat. Tidak ada slogan
yang memburuk-burukan atau mengaibkan parti lawan. Persaingan slogan ini merupakan manifestasi
persaingan antara ideologi dan manifesto Barisan Nasional degan Pakatan Rakyat.
Hal ini perlu disuburkan, bukannya menyuburkan persaingan bahasa provokasi. Apapun, slogan Ini kalilah dan Lain kaliah
akan ditentukan oleh rakyat pada 5 Mei, Esok hari. Adakah benar slogan Ini Kalilah berjaya menjuarai hati
pengundi, atau Lain Kalilah. Jika Barisan Nasional berjaya mengekalkan kuasa, mungkin Ini Kali Je lah Pakatan Rrakyat memperoleh kuasa seperti PRU12. Jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, Ini Kalilah Barisan Nasional. Mari kita lihat esok. Keputusan di tangan Rakyat Malaysia.
[1] Artikel ini
ditulis pada hari terakhir berkempen dan bermula pada 2.00 petang dan siap pada
malam hari, kira-kira pukul 11.30 malam.