Wednesday, March 23, 2011

WARKAH LAMA LAMBANG KESANTUNAN MASYARAKAT MELAYU

WARKAH LAMA LAMBANG KESANTUNAN MASYARAKAT MELAYU

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kesantunan Bahasa dalam Masyarakat Melayu lama bukan sahaja dapat dilihat melalui peribahasa atau pantun-pantun Melayu lama, malah kesantunan bahasa dalam masyarakat Melayu lama dapat dilihat secara bertulis melalui surat-surat atau warkah-warkah Melayu lama.
Abd Razak Abd Karim telah mengkaji surat-surat lama untuk melihat kesantunan berbahasa. Beliau memperlihatkan Kesantunan berbahasa dalam warkah lama tersebut melalui kaedah analisis kesantunan berbahasa yang diperkenalkan oleh Dell Hymes (1974). Menurut Hymes, ada empat kaedah untuk mengukur kesantunan bahasa dalam sesebuah masyarakat, iaitu (i) siapa yang bercakap dengan siapa; (ii) di mana, (iii) mengapa; (iv) bagaimana.
Menurutnya, tajuk atau isi yang sering diperkatakan di dalam warkah tersebut ialah masalah politik seperti pemerintahan, keselamatan, rampasan kuasa, perang saudara, dan sebagainya perdagangan, pengiktirafan sebagai seorang raja, pembayaran cukai dan sebagainya. Tajuk ini mempengaruhi pemilihan perkataan antara pengirim dan penerima, kerana penggunaan kata ganti nama akan menentukan taraf sosial seseorang. Dari aspek siapa bercakap dengan siapa ini akan menentukan penggunaan bahasa yang sopan. Namun demikian, kajian beliau mendapati bahawa surat-surat yang menyentuh soal keselamatan menggunakan bahasa yang tegas dan tanpa kata-kata pujian.
Aspek kedua ialah Di mana. Aspek ini berkaitan dengan latar belakang sesuatu perbincangan atau peristiwa bahasa dan latar belakang ini menimbulkan aspek bahasa yang digunakan. Dalam konteks warkah Melayu lama, istana menjadi pusat kegiatan penulisan dan pihak Barat pula berada di alam Melayu. Oleh itu, pihak Barat terikat dengan dunia Melayu dan terpaksa mematuhi alam Melayu, termasuk dalam penulisan warkah yang sopan santun. Mereka terpaksa mematuhi kaedah penulisan masyarakat Melayu kerana orang Melayu tidak akan menerima surat yang tidak mengikut nilai penulisan masyarakat Melayu. Aspek Mengapa berkaitan dengan apakah tujuan surat itu ditulis. Tujuan ini akan memperlihatkan bentuk bahasa yang digunakan.
Pendapat yang mengatakan warkah Melayu ini sebagai lambang kesantunan juga disokong oleh seorang bakal sarjana yang sedang melakukan kajian terhadap warkah Melayu lama, iaitu Agus Syahrani, dari Kalimantan Timur yang kini sedang menyiapkan ijazah sarjananya di Universiti Malaya. Pada 11 Februari 2011, penulis sempat menghadirkan diri dalam pembentangan beliau (Agus Syahrani) yang bertajuk Warkah-warkah Sultan Pontianak: Analisis Genre (Pontianak ialah sebuah kerajaan Melayu lama di Kalimantan Barat).
Menurut Agus, Sultan Pontianak (abad ke-17 dan 18) mempunyai hubunagn yang rapat dengan dunia Barat, dan terbukti melalui 13 surat yang menghubungkan dunia Barat (Portugis, Belanda dan British) dan alam Melayu, khususnya Kalimantan Timur. Agus berpendapat bahawa surat-surat tersebut bukan sekadar surat tetapi surat-surat tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi untuk menggambarkan budaya kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat Melayu lama. Beliau berkata bahawa nilai kesantunan dapat dilihat melalui puji-pujian dan unsur doa yang wujud di dalam surat tersebut. Menurut beliau lagi, surat-surat ini menggambarkan budaya Melayu secara keseluruhan, iaitu di alam Melayu, tidak terhad kepada warkah-warkah Kesultanan Pontianak. Berikut ialah sepuluh surat yang menjadi kajian sebagai lambang kesantunan berbahasa masyarakat Melayu lama.
1. Raffles kepada Tuanku Pangiran Siak pada 19 Disember 1810.
2. Siti Sabariah Cahaya Alam dari Kedah kepada Francis Light (tanpa tarikh),
3. Warkah Sultan Aceh kepada Raffles pada 27 April 1811.
4. Sultan Mahmud Syah Johor kepada Gurnadur F. Light 10 Novermber 1787
5. Mansyur Syah dari Terengganu kepada Gurnadur F. Light pada 10/2/1792
6. Surat Engku Sayid di Lingga kepada Raffles di Melaka pada 06/01/1811
7. Seri Maharaja Saudagar Kedah kepada J.J. Erskine pada 21 Mac 1807.
8. Sultan Pontianak Syarif Kasim kepada Raffles pada 14 Februari 1811.
9. Surat Yang Dipertuan Perak kepada Raffles 6 April 1811
10. Warkah raja Ambon di Makassar kepada East India Kompeni
Kesimpulannya ialah kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat Melayu lama bukan sahaja dapat dilihat melalui peribahasa, pantun-pantun Melayu lama, malah kesantunan berbahasa yang menjadi tunggak budi pekerti masyarakat Melayu lama dapat dilihat melalui bukti bertulis, iaitu warkah-warkah Melayu lama.
(ABD GANING BIN LAENGKANG @ PEMERHATI BAASA

No comments: