Monday, April 11, 2011

Imbuhan MeN-, -kan dan MeN-, -i: Satu Pemerian Ringkas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Ramai pelajar dan pengguna bahasa Melayu, khususnya dalam penulisan gagal memahami dengan baik tentang penggunaan imbuhan MeN-,-kan dan MeN-,-i. Perhatikan dua ayat berikut.

1. Ibu menidurkan anaknya
2. Ibu meniduri anaknya.

Apabila penulis bertanya kepada pelajar-pelajard di dalam kelas, manakah ayat di atas adalah ayat yang betul? Semua pelajar sepakat mengatakan bahawa ayat 1 adalah betul dan ayat 2 adalah salah. Mungkin pembaca juga akan memberikan jawapan yang sama. Sebenarnya, ayat 1 dan 2 di atas adalah benar dari segi linguistik (hukum tatabahasa dan makna) dan konteksnya. Tatabahasa Dewan mengatakan bahawa imbuhan MeN-,-kan berfungsi sebagai menyebabkan sesuatu atau dikenali sebagai bersifat kausatif. Berdasarkan fungsi ini, maksud ayat 1 di atas membawa maksud menyebabkan objek dalam ayat di atas iaitu anaknya tertidur. Dengan pengertian lain, imbuhan MeN-,-kan membawa maksud menyebabkan sesuatu seperti makna yang dikandung oleh makna kata kerja dalam ayat tesebut, iaitu menyebabkan anaknya tertidur.

Imbuhan MeN-, -i mempunyai fungsi yang lain. Tatabasa Dewan mengatakan bahawa Imbuhan MeN-, -i memainkan fungsi dalam ayat sebagai menimpa objek. Berdasarkan fungsi ini juga, maka ayat 2 di atas adalah benar dari segi linguistik dan konteksnya, cuma berbeza makna dengan ayat 1. Ayat 2 di atas tidak salah dari segi linguistik dan konteksnya sebab ayat tersebut lengkap, ada subjek dan predikat. Subjeknya ialah ibu dan predikatnya meniduri anaknya. Dari konteksnya juga betul sekiranya ada kes seorang ibu meniduri anaknya. Kedua-dua ayat di atas boleh difahami dengan melihat ayat 3 dan 4 di bawah:

3. Ali menaikkan bas.
4. Ali menaiki bas.

Ayat 3 dan 4 di atas adalah benar, tetapi ayat 3 dan 4 di atas tidak mempunyai makna ayat yang sama. Imbuhan MeN-, -kan dalam ayat 3 di atas menyebabkan bas itu terangkat naik, manakala ayat 4 yang menggunakan imbuhan MeN-,-i membawa maksud objek itu ditimpa oleh pelaku (subjek) dalam ayat tersebut. Ayat 4 di atas tidak membawa maksud bas tersebut terangkat naik.

Oleh itu, ayat 2 di atas hanya salah dari segi hukum Islam dan ini dianggap sebagai sumbang mahram. Kesimpulannya di sini ialah penggunaan imbuhan MeN-,-kan dan MeN-,-i membawa maksud yang berlainan dalam sesuatu ayat. Oleh itu, pengguna bahasa hendaklah memahami imbuhan bahasa Melayu dengan lebih mendalam untuk mengelakkan kekeliruan. Sebenarnya hukum tatabahasa, khususnya penguasaan imbuhan amatlah penting dikuasai bagi menghasilkan ayat yang berkesan.

(ABD GANING BIN LAENGKANG@PEMERHATI BAHASA)

No comments: