Thursday, November 17, 2011

PERLANTIKAN ATAU PELANTIKAN, PERBICARAAN ATAU PEMBICARAAN: CARA MUDAH MENENTUKANNYA

Penulis sering menerima pertanyaan tentang penggunaan imbuhan per-…-an dan peN-…-an. Perkataan yang sering ditanyakan ialah perlantikan atau pelantikan, perletakan atau peletakan. Ejaan manakah yang menepati hukum tatabahasa bahasa Melayu? Perlantikan atau pelantikan, perbicaraan atau pembicaraan?
Tatabahasa Dewan (2008:132) telah menyentuh persoalan di atas dan menyediakan formula yang mudah. Untuk mengenal pasti penggunaan imbuhan per-…-an dan peN-…-an dengan betul adalah dengan melihat kata dasarnya, sama ada boleh menerima imbuhan meN- atau ber-. Contohnya, perkataan lantik. Perkataan lantik ini hanya boleh menerima imbuhan meN-, iaitu untuk membentuk kata kerja melantik dan tidak boleh menerima imbuhan ber- untuk membentuk kata kerja berlantik. Padanan imbuhan me- ialah imbuhan peN-..-an. Oleh itu melantik berpadanan dengan perkataan pelantikan dan sbukan perlantikan. Ejaan perlantikan tidak tepat kerana perkataan lantik tidak boleh membentuk kata kerja yang berimbuhan awalan ber-, iaitu berlantik.
Berlainan dengan perkataan bicara. Perkataan ini boleh membentuk kata kerja yang berimbuhan awalan ber-, iaitu berbicara, tetapi tidak boleh membentuk membicara. Oleh itu, perkataan yang tepat ialah perbicaraan, dan bukannya pembicaraan.
Demikian juga dengan perkataan lumba yang tidak boleh menerima imbuhan meN-, yang membentuk pekataan melumba. Perkataan lumba boleh menerima imbuhan ber- untuk menjadi kata terbitan berlumba. Jadi perkataan lumba ini hanya boleh menerima apitan per-...-an, untuk membentuk kata perlumbaan, dan bukannya pelumbaan.
Namun demikian, Tatabahasa Dewan juga mengatakan bahawa terdapat perkataan yang boeh menerima kedua-dua imbuhan per-…-an dan pen-…-an. Hal ini berlaku kerana bentuk itu berasal daripada dua bentuk kata kerja yang memberikan makna yang berlainan, seperti yang berikut:
Perpisahan berasalah daripada kata kerja berpisah
Pemisahan berasalah daripada kata kerja memisahkan
Pertukaran berasalah daripada kata kerja bertukar
Penukaran berasalah daripada kata kerja menukarkan
Kesimpulannya ialah penggunaan imbuhan per-…-an dan peN-…-an dapat ditentukan dengan melihat pada kata kerjanya, sama ada kata kerjanya boleh menerima imbuhan awalan meN- atau awalan ber-.

(ABD GANING BIN LAENGKANG@PEMERHATI BAHASA

No comments: