Friday, January 13, 2012

ISTILAH UNIVERSITI TA’DIB BAHASA ROJAK?

ISTILAH UNIVERSITI TA’DIB BAHASA ROJAK?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Istilah ta’dib yang diperkenalkan oleh Syed Naquib Al-Attas pada 1977 dalam Persidangan Dunia Pertama Pendidikan Islam telah menjadi pilihan KUIS untuk menggambarkan KUIS sebagai institusi pendidikan Islam dalam erti kata yang sebenar. Istilah ini berasal daripada bahasa Arab dan telah menjadi popular di KUIS sejak Januari 2011. Pelbagai seminar, persidangan, bengkel, kursus dan sebagainya telah diadakan oleh KUIS untuk membincangkan fenomena ta’dib. Daripada perbincangan yang banyak ini, wujud pelbagai frasa baharu di KUIS, antaranya ialah Universiti Ta’dib, Siri Wacana Ta’dib, Seminar Faham Insan dalam Proses Ta’dib, Bicara Ta’dib, Insan Ta’dibi, Mahasiswa Ta’dibi dan sebagainya.
Pertemuan pertama penulis dengan Ketua Bahagian Pembangunan Korporat KUIS, En. Halim Mokhtar juga tidak terlepas daripada membincangkan hal ta’dib. Perbincangan kami tidak tertumpu pada konsep dan pelaksanaan ta’dib di KUIS. Kami hanya membincangkan istilah ta’dib itu dari sudut bahasa, kerana beliau mengenali penulis sebagai ahli bahasa. Beliau meminta pandangan penulis dengan bertanya (lebih kurang berbunyi) “Adakah istilah universiti ta’dib merupakan bahasa rojak memandangkan istilah ta’dib itu tidak wujud dalam bahasa Melayu? Kemudian menyambung soalannya “bagaimanakah perkataan asing itu boleh diserap ke dalam bahasa Melayu?” Dua soalan rigkas ini dikemukakan semasa penulis menemui beliau di pejabatnya untuk mendapatkan pengesahan sesuatu dokumen.
Oleh sebab pertemuan itu terlalu singkat, tidak terancang dan agak santai, maka penulis menjawab seringkas mungkin, iaitu “apabila perkataan/istilah asing telah digunakan secara meluas dalam tempoh yang panjang, maka perkataan itu boleh menjadi BMdan akan disenaraikan dalam Kamus Dewan sebagai perbendaharaan kata bahasa Melayu”. Jawapan ini yang sempat penulis berikan ketika itu. Artikel ini akan melanjutkan jawapan ringkas di atas.
Soalan yang dikemukakan oleh En. Halim di atas merupakan soalan lazim bagi penulis apabila membincangkan isu bahasa rojak atau percampuran bahasa dengan pelajar-pelajar dan rakan-rakan akademik yang berada di luar bidang bahasa. Pada pendapat penulis, En. Halim Mokhtar dan mungkin orang yang berada di luar bidang pengajian bahasa akan berfikiran bahawa setiap percampuran antara BM dengan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain dianggap sebagai bahasa rojak yang menyalahi hukum tatabahasa Melayu. Pemahaman ini tidak terlalu tepat. Tidak semua percampuran bahasa antara BM dengan bahasa asing boleh dianggap sebagai bahasa rojak. Mengapa?
Untuk melengkapkan jawapan bagi soalan di atas, beberapa perkara perlu dijelaskan terlebih dahulu. Antaranya ialah Konsep bahasa rojak, bilakah bahasa rojak tidak dianggap sebagai satu kesalahan bahasa, bagaimanakah istilah/perkataan asing boleh menjadi bahasa Melayu, adakah sama bahasa rojak dengan kata serapan atau kata pinjaman. Pemahaman terahadap perkara-perkara yang bakal dijelaskan ini akan membawa satu kesimpulan sama ada bahasa itu bahasa rojak atau tidak.
Secara umumnya, percampuran dua bahasa boleh dianggap sebagai bahasa rojak dan hal ini dianggap pelanggaran terhadap hukum tatabahasa. Namun demikian, konsep tersebut perlu difahami secara mendalam. Awang Sariyan telah memperincikan persoalan bahasa rojak dalam kertas kerja beliau yang bertajuk Bahasa Kacukan: Antara Realiti Sosiolinguistik dengan Idealisme Perancangan Bahasa. Menurut beliau (2006:546) penggunaan bahasa rojak perlu dilihat dari konteks yang berlainan, iaitu konteks rasmi dan konteks tidak rasmi. Menurutnya, bahasa rojak boleh diterima sebagai satu realiti sosiolinguistik apabila digunakan dalam situasi tidak rasmi. Dengan pengertian lain, bahasa rojak tidak menjadi kesalahan apabila digunakan dalam situasi tidak formal. Penggunaan bahasa rojak hanya akan menjadi satu masalah (kesalahan) kesantunan bahasa jika digunakan dalam situasi rasmi.
Menurut beliau lagi, perkara yang perlu difahami ialah istilah bahasa rojak dan kata serapan atau kata pinjaman. Bahasa rojak tidak sama dengan penyerapan kata atau istilah asing. Fenomena penerimaan kata atau istilah daripada bahasa asing tidak ada kaitannya dengan isu bahasa rojak. Pengambilan kata dan istilah untuk memperkaya ilmu dan kebudayaan memang merupakan amalan semua bangsa di dunia. Dalam mana-mana bahasa pun, fenomena penyerapan dan pengambilan kata dan istilah asing memang tidak dapat dan tidak perlu dielakkan asalkan penyerapan itu bersistem, teratur, dan mengikut nilai sebutan bahasa Melayu, seperti yang digariskan oleh Pedoman Umum Pembentukan BM(PUPBM). Oleh itu, bahasa rojak ialah percampuran bahasa dengan cara yang tidak bersistem dan tidak teratur.
Selain itu, panduan penyerapan atau peminjaman bahasa asing untuk menjadi BM telah diberikan oleh PUPBM (DPB, 2004:2-3) dengan meletakkan beberapa syarat. Syarat utama perkataan/istilah yang hendak dipilih mestilah mengandungi makna yang paling tepat untuk mengungkapkan konsep yang dimaksudkan dalam bidang ilmunya. Selain itu, perkataan itu hendaklah ringkas, tidak mengandungi konotasi yang buruk, tidak sensitif, tidak lucah, dan sedap didengar, iaitu mempunyai ciri-ciri keindahan bunyi (eufoni).
Pemilihan bahasa asing hanya boleh dilakukan apabila BM atau bahasa serumpun dengan BM tidak wujud untuk menggambarkan makna yang paling tepat tentang sesuatu perkara dan tidak menimbulkan sensitifti kaum. Dengan pengertian lain, jika perkataan BM ini tidak dapat memberikan makna yang tepat bagi sesuatu perkara, maka bahasa serumpun dipilih. Jika bahasa serumpun ini tidak juga mampu menjelaskan konsep tersebut secara tepat, barulah memilih bahasa asing, sama ada bahasa Inggeris, Arab dan sebagainya. Oleh itu, dalam konteks mendefinisikan pendidikan Islam, jika BM atau bahasa yang serumpun dengan BM mempunyai perkataan/istilah yang tepat untuk menggambarkan konsep pendidikan Islam dalam erti kata yang sebenar, maka BM atau bahasa yang serumpun dengan BM akan dipilih dan menolak istilah ta’dib.
Selain itu, penolakan istilah dalam BM dan mengutamakan istilah asing juga pernah berlaku. Contohnya, istilah virus babi yang pernah menyerang negara kita. Istilah virus babi ini sensitif dan tidak sedap didengar bagi umat Islam di Malaysia, walaupun mengutamakan BM dan dapat menggambarkan makna yang tepat. Istilah virus babi ini juga telah dipertahankan oleh Dato’ Seri Utama Utama Rais Yatim selari dengan kementerian yang dipegangnya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, dengan tujuan mengekalkan penggunaan BM. Namun demikian, beliau akur dengan panduan yang diberikan oleh PUPBM bahawa perkataan yang hendak dijadikan istilah mestilah mempunyai makna yang tepat dan tidak sensitif terhadap sesuatu kaum. Oleh itu, istilah virus babi itu ditukar dengan istilah virus H1 N1 (dengan sebutan H satu N satu). Satu istilah yang lebih saintifik dan tidak sensitif dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Berbalik pada pokok persoalan di atas, “adakah istilah universiti ta’dib itu sebagai bahasa rojak? Jika rangkai kata ini bahasa rojak, maka istilah lain seperti Siri Wacana Ta’dib, Seminar Faham Insan dalam Proses Ta’dib, Bicara Ta’dib, Insan Ta’dibi, Mahasiswa Ta’dibi dan sebagainya juga merupakan bahasa rojak. Maksudnya, KUIS menggunakan bahasa rojak, memperkenalkan atau mempromosi bahasa rojak secara berleluasa.
Apabila istilah ta’dib dianalisi dari segi asal-usul penggunaannya di Malaysia, istilah ini diperkenalkan oleh oleh Syed Naquib Al-Attas pada tahun 1977 untuk menggambarkan institusi pendidikan Islam dalam erti kata yang sebenar. Beliau tidak menemui padanan istilah ta’dib dalam BM atau bahasa yang serumpun dengan BM untuk memberikan pengertian yang paling tepat tentang konsep pendidikan Islam dalam erti kata yang sebenar. Istilah ini juga dipilih secara teliti, setelah membandingkan makna tarbiah dan taklim. Menurut Al-Attas, makna ta’dib telah merangkumi konsep yang didukung oleh taklim dan tarbiah. Taklim diertikan sebagai perihal mengajarkan agama Islam, manakala tarbiah bermaksud pendidikan dan pengasuhan. Hal ini bermakna pemilihan kata ta’dib tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya dan pemilihan kata yang teliti ini menepati syarat utama yang diberikan oleh PUPBM. Oleh itu, istilah universiti ta’dib bukan bahasa rojak, sebalikanya dianggap sebagai istilah baharu bagi BM dalam bidang pendidikan.
Dalam penyenaraian, istilah ta’dib belum disenaraikan dalam Kamus Dewan dan buku Daftar Kata Bahasa Melayu kerana istilah ini belum digunakan secara meluas dan dalam tempoh yang panjang. Istilah ini belum popular dalam bidang pendidikan, belum digunakan dalam buku-buku ilmiah, jurnal-jurnal, majalah-majalah, media massa, media elektronik dan sebagaianya. Hal ini berbeza dengan istilah tarbiah dan taklim yang telah disenaraikan dalam Kamus Dewan dan dalam Daftar Kata Bahasa Melayu. Dua istilah ini disenaraikan dengan disertai oleh simbol Ar, simbol yang menandakn istilah ini daripada bahasa Arab. Penyenarian dua istilah ini dalam kamus menunjukkan dua istilah ini telah dipilih secara sistematik, telah digunakan secara meluas dan dalam tempoh yang panjang di Malaysia.
Pada peringkat ini, istilah ini hanya dianggap sebagai kata pinjaman, atau serapan asing. Kaedah penulisan perkataan/istilah pinjaman dengan bahasa Melayu sepenuhanya. Penulisan istilah ini hendaklah dicondongkan, seperti wacana ta’dib, universiti ta’dib. Selain dicondongkan, istilah baharu juga boleh boleh ditandai oleh tanda petik tetapi hendaklah tulisan itu menegak, seperti universiti “ta’dib”, atau wacana “ta’dib”. Apabila istilah ta’dib disenaraikan dalam Kamus Dewan, istilah ini akan disertaikan dengan simbol Ar, simbol yang menandakan istilah ini daripada bahasa Arab. Jika perkataan ini telah digunakan terlalu lama dan secara meluas, maka simbol Ar akan digugurkan bagi menandakan istilah ta’dib sebagai kata bahasa Melayu sepenuhnya. Contoh perkataan yang telah menjadi BM sepenuhnya walaupun bahasa tersebut daripada bahasa Arab, iaitu perkataan adab. Perkataan ini disenaraikan dalam Kamus Dewan tanpa simbol Ar.
Walaupun istilah ta’dib telah diperkenalkan oleh Syed Naquib Al-Attas pada tahun 1977, tetapi masih belum disenaraikan sebagai bahasa Melayu dalam Kamus Dewan kerana tidak popular. Oleh itu, KUIS memainkan peranan penting dalam mempopularkan istilah ta’dib ini dalam kalangan rakyat Malaysia agar dapat dibincangkan dalam buku-buku ilmiah, majalah, media massa dan elektornik; dan digunakan dalam tempoah yang lama. Jika KUIS berjaya mempopularkan istilah ini, ta’dib akan menjadi senarai kata BM dan akan memperkaya ilmu dalam bidang pendidikan negara, sekali gus membolehkan KUIS menjadi model institusi pengajian Islam dalam erti kata yang sebenarnya.
Berdasarkan huraian di atas, percampuran antara BM dengan bahasa asing bukanlah suatu bahasa rojak sekiranya dipinjam dan diserap secara teratur, iaitu mengikut syarat yang ditetapkan oleh PUPBM. Sekiranya istilah itu baru digunakan di Malaysia, penulisan istilah itu hendaklanya dicondongkan. Apa yang penting difahami ialah penyerapan perkataan/istilah asing ke dalam BM tidak perlu dielakkan jika memang benar-benar BM tidak mampu menggambar sesuatu konsep dengan cara yang paling tepat. Malah kemasukan istilah asing ini akan memperkaya ilmu kita.
(“Terima kasih En. Halim, Short Question, but long answer!”,
dengan izin Dato’ Rektor)

(ABD GANING LAENGKANG@PEMERHATI BAHASA)

No comments: